Bila Cinta Dikhianati Keluarga
Diterbitkan oleh: RUMAA BOOKS 12 JALAN INDUSTRI KIDAMAI, BUKIT ANGKAT, 43000 KAJANG, SELANGOR.
Penyelaras Penerbitan Ketua Editor Ketua Unit Perolehan (Novel) Editor Junior (Novel) Ketua Unit Manuskrip Editor Pembangunan Manuskrip Editor Naskhah Pruf Baca Penulis Ketua Unit Visual Buku Reka Bentuk Kulit Reka Letak
No. Tel.: +603-8751 0333 E-mel: admin@imanpublication.com RUMAA BOOKS adalah nama komersial bagi Novel IMAN Sdn. Bhd
: Faizah Hamid : Rahmah Pauzi : Syahira Hozami : Qurratul 'Ain : Auni Zainal : Umairah Shafei : MAZ : Noor Amalina Aini : Alia Husna : Husna Ab Rahman : Afiq Asyraf Ariff : Haziq Razack Nabil Waldan
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA Cetakan Pertama Januari 2026 ISBN
Dicetak oleh : Mihas Grafik Sdn Bhd No 8, Jalan SR 4/18, Taman Serdang Raya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.
Sebarang maklum balas berkenaan buku ini (kesalahan, kerosakan dan juga ulasan) boleh terus ke pautan ini: bit.ly/novelrumaa
Hak cipta terpelihara. Segala kandungan dalam buku ini — termasuk artikel, ilustrasi dan gambar — tidak boleh disalin, diterbitkan semula atau digunakan dalam apa-apa cara tanpa kebenaran bertulis daripada Novel IMAN Sdn Bhd. Kandungan buku ini juga tidak boleh digunakan oleh mana-mana sistem Kecerdasan Buatan (AI) untuk tujuan latihan atau penjanaan kandungan, tanpa kebenaran.
Bila Cinta Dikhianati Keluarga Alia Husna
Bab 1
The Taaras Beach and Spa Resort, Mac 2023 Elina melangkah perlahan sambil menjinjit sepasang kasut di tangan kiri. Setiap langkah dinikmati saat tapak kakinya menyentuh pasir. Sesekali blaus hijau lumut dan skirt labuh berwarna senada yang dipakainya beralun lembut mengikut arah tiupan angin. Kasut dilepaskan daripada pegangan. Elina membetulkan letak duduk tudung bawal yang tersarung di kepala. Kemudian tangannya lincah melibas skirt labuh yang basah disapu ombak kecil.
4 | ALIA HUSNA
Elina duduk di atas buaian lalu memegang kemas tali buai. Kakinya menolak pasir, membuatkan tubuhnya terawang di udara. Mata dipejamkan, mensyukuri nikmat udara yang masih mampu dihirup sehingga ke hari ini. Pandangan ditebar ke dada langit yang berbalam dengan warna jingga. Sebentar lagi, mentari bakal melabuhkan tirai. Bibir Elina mengukir senyum tipis. ‘Cantiknya!’ Hatinya berdesis teruja. Ayunan buaian terhenti ketika seseorang memegang erat salah satu tali buai. Pantas Elina mengalihkan pandangan ke sisi. Raut wajah lelaki berusia 50-an menyapa pandangan. Sekali lagi, senyuman manis terlukis. “Ayah rupanya. Ingatkan siapa. Ibu mana?” soal Elina sambil mencari batang tubuh ibu yang tidak kelihatan. “Ada dalam bilik tu. Nak berehat sekejap katanya. Boleh ayah duduk sekali?” pinta Azmi bersama senyuman yang tidak lekang. Elina sepi tanpa jawapan. Dia berkesot ke sebelah kiri, memberi ruang untuk ayahnya duduk di atas papan buai. Papan itu ditepuk beberapa kali tanda meraikan permintaan ayahnya.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 5
Tanpa menunggu lama, Azmi terus duduk. “Kenapa tahun ni El pilih nak bercuti di sini? Kenapa tak pilih ke luar negara macam tahun-tahun sebelum ni? El risau ayah tak cukup duit ke?” Raut wajah ayah diamati. Ada tanda tanya yang jelas kelihatan di wajah itu. Kening ayah bercantum rapat. Matanya terkebil-kebil memandang Elina meminta kepastian. Terlucut tawa kecil dari bibir Elina. Reaksi ayahnya mengundang lucu. “Mana ada, ayah! El tahu ayah banyak sangat duit, kan?” Kedua-dua tangan didepakan mewakilkan kekayaan Azmi sambil kening terangkat sebelah, mengusik. Senyum lebar tercarik. “Tujuh keturunan pun tak habis duit ayah kalau tiap tahun kita pergi merata-rata tempat. Nak-nak El seorang aje anak ayah. Cuma ....” Bicara Elina terhenti. “Cuma apa?” “El rasa tak salah pun kalau sesekali kita bersederhana. Walaupun tak adalah sederhana mana pun bila kita duduk hotel lima bintang ni. Tapi, entahlah. El rasa nak bercuti dalam Malaysia aje kali ni. Lagipun, cantik apa Pulau Redang ni,
6 | ALIA HUSNA
yah! Tak ada kurang mana pun kalau nak banding dengan pulau-pulau di luar negara,” komen Elina. Kata orang, walau hujan emas di negeri orang, lebih baik memilih hujan batu di negeri sendiri. Malaysia ada banyak tempat percutian yang boleh diterokai. Hanya tinggal mahu mencuba atau tidak sahaja. “Betul? Bukan sebab El fikir ayah tak mampu?” Azmi menyoal sekali lagi dengan pandangan tepat menikam mata Elina. Dia tidak mahu Elina fikir begitu. Sehingga ke hari ini, segala yang diusahakan hanyalah untuk anak dan isteri. Segala kemahuan mereka jarang tidak dituruti. Elina mengangguk beberapa kali, memberi keyakinan kepada Azmi. Kepalanya dilentokkan di atas bahu si ayah. Lengan Azmi dipaut sayang. “Terima kasih, ayah ... untuk semuanya. Sebab susah payah usahakan rezeki yang halal untuk keluarga kecil kita.” Mendengarkan ucapan Elina, jantung Azmi berdetak tidak sekata. Titik-titik peluh pecah di dahi biarpun angin pantai terasa sejuk menyentuh kulit. Liur yang ditelan terasa kesat.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 7
Kalaulah Elina tahu kebenarannya, masih wujudkah detik-detik seperti ini untuk mereka abadikan sebagai kenangan?
*** Santai berpakaian baju-T putih tanpa kolar bersama seluar tiga suku, Alan menelusuri pasir pantai tanpa alas. Tangan sebelah kiri memegang sepasang selipar jepun. Sebelah tangan lagi dimasukkan ke dalam poket seluar. Desiran angin membuai lembut rambut hadapan Alan yang sedikit panjang. Jernih air yang berwarna biru sehingga menampakkan pasir-pasir memutih di dalamnya memukau pandangan Alan. Indahnya ciptaan Tuhan. Jarang-jarang dia boleh menikmati pemandangan sehebat ini. Langit senja semakin indah dihiasi warna jingga kemerah-merahan. Alan tidak ingin melepaskan momen indah ini. Kamera yang tergantung pada leher diangkat. Klik. Hanya satu petikan, pemandangan indah sudah terakam dalam kamera miliknya. Bibir mengoyak senyuman puas.
8 | ALIA HUSNA
Mata dipejamkan rapat. Nafas ditarik dalam. Terasa sejuk udara yang melalui hidung setelah disedut. Segar. Fikirannya tiba-tiba terbayangkan wajah seseorang. Seseorang yang sangat dirindui. Seseorang yang telah lama dicari. Seseorang yang dalam diam mendapat tempat paling istimewa di dalam hati. Sayangnya, sehingga hari ini, Tuhan belum mengizinkan untuk dia temui. Pandangan dilemparkan ke serata pantai. Melihat kelakuan pengunjung yang bermacam ragam. Rata-ratanya sedang menyaksikan keindahan matahari terbenam. Ada juga kanak-kanak yang saling berkejaran. Beralih pada buaian yang terdapat di tepian pantai, figura seorang gadis terbias pada bebola matanya. Jantung Alan tak semena-mena berdetak kencang. Dari pandangan sisi, Alan merasakan seolah-olah gadis itu pernah dilihat di mana-mana. Mungkin kenalan lama. Mungkin juga pernah berselisih di mana-mana titik pertemuan tanpa bertegur sapa. Kedua-dua belah mata ditenyeh pakai jemari. Tertarik untuk mendekati, tanpa sedar kakinya sedang melangkah setapak demi setapak ke arah buaian itu.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 9
Bunyi deringan lagu Save Me From Myself nyanyian Harris J. berkumandang di telinga bersama getaran yang kuat di dalam poket seluar. Langkah Alan mati. Namun, matanya tidak lepas daripada merenung gadis yang masih asyik menikmati pemandangan senja. Menggagau tangannya mencapai telefon di dalam poket. Suatu nama tertera pada skrin. Punat hijau pada skrin ditekan sebelum telefon dilekapkan pada telinga. “Ya, ma,” sahut Alan bernada lembut. “Alan dekat mana? Dah nak maghrib. Jomlah jemaah sekali,” ajak Maisarah di hujung talian. “Dekat pantai, ma,” balas Alan. Panjang lehernya mengintai gadis itu. Risau gadis itu beredar sebelum sempat dia pastikan siapa gerangannya. “Isy, buat apa tepi pantai waktu syaitan berkeliaran ni?” komen Maisarah bersama kerutan di dahi. Alan tertawa kecil sambil kepala digelengkan. Dah besar panjang pun, mama masih layan dia macam budak kecil. “Baik, ma. Sekejap lagi Alan sampai.” Panggilan dimatikan. Bibirnya diketap. Hati berbelah bahagi sama ada niatnya patut diteruskan atau dimatikan saja.
10 | ALIA HUSNA
Setelah berkira-kira, Alan putuskan untuk terus mendekati gadis itu. Baru beberapa langkah dia menapak, kelibat seorang lelaki berusia yang sedang merapati si gadis telah membantutkan niatnya. Keluhan kecil terlepas daripada bibir. ‘It’s ok, Alan. Mungkin kau salah orang. Kalau ada jodoh, tak ke mana, kan?’ Tubuh dipusingkan. Alan melangkah ke hotel tanpa berpaling lagi. Bunyi azan yang berkumandang dari telefon pintarnya menambahkan kelajuan langkah kaki. Ada insan yang lebih penting sedang menanti. Dan ada seruan wajib perlu dia penuhi.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 11
Bab 2
Pintu bilik Elina diketuk oleh Azmi beberapa kali. Nama panggilannya diseru manja. “El ....” Sepi. Tombol pintu dipulas. Kelibat Elina dicari, namun ruangan itu kosong. Apabila terdengar bunyi pancuran air dari bilik air, tahulah Azmi yang anaknya sedang membersihkan diri. Mata Azmi merayap ke serata bilik. Perabot berjenama Lorenzo memenuhi ruang bilik segi empat berkeluasan 15 meter persegi. Di penjuru kanan bilik, sebuah katil putih
12 | ALIA HUSNA
bersaiz king elok terletak. Warna yang sama dipadankan dengan almari empat pintu. Suasana bilik Elina terasa mendamaikan. Di satu sudut yang lain, dimuatkan sebuah sofa bentuk L berwarna biru laut. Puas berbaring di katil, Elina ada pilihan lain untuk bersantai di atas sofa empuk. Bilik itu juga dilengkapi dengan sebuah meja belajar bersaiz lebar agar Elina selesa mengulang kaji di situ. Apabila melihat semua yang telah diusahakan untuk keluarga ini, Azmi tersenyum puas hati seperti telah memenangi sebuah trofi. Ya, dia telah menang dalam memberi kemewahan dan keselesaan kepada keluarganya. Dia juga telah menang dalam mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Dia menyayangi keluarga kecilnya bagai menatang minyak yang penuh, tidak dibiarkan tumpah walau setitis. Dia tidak akan izinkan walau secalit rasa terpinggir menghuni hati anak dara dan isterinya. Angin sejuk yang menampar kulit Azmi menyedarkan dia daripada lamunan panjang. Kaki diatur menghala ke tingkap yang terbuka lebar. Langsir menggerbang ditiup angin. Dia mendongak melihat dada langit. Malam ini langit gelap pekat tanpa bulan yang menghiasi. Bunyi unggas dan cengkerik sesekali menemani malam dingin.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 13
Azmi menggeleng melihat tingkap yang dibiar terbuka pada waktu malam. Mujurlah dia sudah memasang jeriji pada setiap tingkap demi keselamatan penghuni rumah. Tangannya laju menutup kedua-dua belah tingkap. “Ayah, buat apa dekat situ?” tegur Elina. Dia sudah siap berpakaian tidur dari dalam bilik air. Tuala yang tersangkut di leher digunakan untuk mengelap rambut yang masih basah. Laju Azmi berpaling sambil mengurut dada. “Tutup tingkap. Jangan biar tingkap terbuka malammalam ni, El. Buatnya ada binatang masuk, lain pula jadinya,” bebel Azmi. Langkah kaki dibawa ke sofa. Punggung dilabuhkan di situ sebelum kaki naik melipat sila. Dia menepuk ruang kosong di sebelahnya, meminta Elina duduk di situ. Elina duduk sambil tangannya ligat mengelap celahcelah rambut yang masih basah. “Sorry, ayah. Lupa nak tutup tadi.” “Lagi satu, suka betul mandi malam-malam. Tak eloklah untuk kesihatan.” Azmi bersungut bersama dahi yang berkerut. Giliran Elina mengerutkan dahi. Kedua-dua belah keningnya hampir bertaut. “Betul ke ayah? El selalu juga dengar orang cakap macam tu tapi ada bukti saintifik ke?”
14 | ALIA HUSNA
Azmi terkedu dek pertanyaan Elina. Enggan menjawab pertanyaan Elina, Azmi hanya melibas-libas tangannya. “Abaikan. Bukan itu tujuan ayah masuk ke sini.” Elina tergelak kecil. Bukan niat mahu menyindir tetapi terasa geli hati dengan kelakuan Azmi. “Okey, jadi apa tujuan ayahanda menziarahi anakanda malam-malam sebegini?” gurau Elina. Pipi Elina dicubit geram. Walaupun anaknya sudah mencecah usia 20-an, kadangkala Azmi akan melayan Elina bagai dia masih kanak-kanak lagi. “Ayah serius ni, El!” Azmi mendengus tanda protes. Lengan ayahnya dipaut dengan mulut yang sudah memuncung. “Alah, gurau sikit pun tak boleh.” Giliran Azmi melepaskan tawa kecil. Bukannya dia tidak sedar Elina sedang bergurau, sengaja dia mahu mengusik. “Okey, back to the main purpose. Tujuan ayah masuk bilik El ni sebab nak tanya ....” “Tanya apa tu?” cantas Elina. Dia bingkas berdiri lalu menyangkut tuala yang lembap di penyidai sebelum duduk bersimpuh di atas lantai di sisi ayahnya. Tangan dikepal membentuk penumbuk lantas diletakkan di atas paha Azmi. Dagunya selesa bersandar di situ.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 15
“El dah fikir nak sambung belajar dalam jurusan apa nanti?” soal Azmi serius. Elina menggigit bibir. Sejujurnya, dia tidak pernah berfikir secara serius tentang cita-citanya. Tetapi kalau diikutkan minatnya, dia ingin menjadi seorang tenaga pengajar. “Ayah nak El jadi apa?” Elina meminta pendapat. Kepalanya didongakkan sedikit, merenung sepasang mata tua milik ayah. “Eh, tanya kita pula! Itu kan cita-cita El. Ayah tak masuk campur. Apa pun impian El, ayah akan sokong.” “Coffee time!” Suara girang ibu memotong perbualan dua beranak itu. Azila sudah berdiri di muka pintu bilik sambil menatang dulang berisi tiga biji cawan. “Ibu, El kan ....” “Ya, ibu tahu El tak suka minum kopi malam-malam sebab takut tak boleh tidur, kan? So, ini hot chocolate untuk El.” Cawan berisi air coklat panas disua kepada Elina. Gadis itu tersenyum girang. “Terima kasih ibu yang cantik!” “Amboi, dapat air kegemaran terus puji ibu, ya!” Tawa mereka bertiga bersatu memecah keheningan malam.
16 | ALIA HUSNA
Secawan kopi dihulurkan pula kepada sang suami. Dulang diletakkan di atas meja belajar sebelum Azila menarik kerusi di situ. Setelah duduk, Azila menghirup kopi panas di tangan. Terpejam-pejam matanya ketika kopi hangat mengalir di rengkung. “Tengah discuss pasal apa? Boleh ibu join? Kalau tak boleh pun, ibu tetap nak menyibuk!” Bibir Elina menguntum senyuman. “Boleh sangat. Ibu nak El jadi apa nanti?” Soalan yang sama diusulkan pula kepada Azila. “Lah, El decide lah El nak jadi apa. Ibu tak kisah. Asalkan El jadi manusia,” tekan Azila penuh makna. Matanya bertaut dengan mata Azmi. “Manusia?” Kening Elina hampir bercantum. Apa belum cukup manusia lagikah dia sekarang? “Maksud ibu ... El jadilah apa-apa pun, asalkan El jadi orang yang berguna. Tak buat perkara yang sia-sia. Tak buat perkara yang boleh merugikan El pada masa akan datang,” terang Azila panjang lebar. Jauh di sudut hati, dia berharap Elina akan mengerti. Perjalanan hidup Elina masih jauh, sedangkan dia dan Azmi semakin menghampiri penghujung usia.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 17
“Maksudnya?” Pelipis yang gatal digaru. Mata ditenyeh, menahan kantuk yang bertandang. “Jangan libatkan diri dengan perkara yang boleh memudaratkan El di kemudian hari,” ujar Azila senafas, tanpa nada. Uhuk! Rengkung Azmi pedih gara-gara tersedak tiba-tiba. Terbatuk-batuk dia cuba mengatur nafas. Elina bingkas bangun menepuk belakang Azmi. “Macam budak-budaklah ayah ni. Macam mana boleh tersedak minum kopi?” Setelah batuknya reda, Azmi mencapai tangan Elina. Wajah Azmi kosong tanpa riak. “Ayah dah okey. El pergi tidur. Lewat dah ni. Esok kita sambung bincang lagi.” Mata Elina kian memberat. Tidak mampu menahan kantuk, lambat-lambat kakinya menapak ke arah katil. Tubuh direbahkan sebelum selimut ditarik menutupi dada. Azmi dan Azila bergilir-gilir mencium dahi Elina. Suis lampu dimatikan. Anak mereka sudah lena diulit mimpi. Perlahan-lahan pintu bilik dikatup rapat.
18 | ALIA HUSNA
*** Bunyi kerusi bergeser dengan lantai setelah ditarik sedikit membingitkan telinga. Azmi melabuhkan duduk bersama segelas air suam yang diambil dari mesin Coway. Wajahnya murung tanpa segaris senyuman. “Abang, tak nak tidur lagi?” tegur Azila saat terpandangkan Azmi yang sedang duduk di meja makan. Dia baru melepaskan hajat di tandas bawah setelah keluar dari bilik Elina sebentar tadi. Mendengarkan ada suara yang menegur, Azmi kalih ke belakang. Kepala digelengkan bersama satu senyuman hambar. “Nak Ila temankan?” soal Azila, perasan perubahan mendadak pada wajah suaminya setelah beredar dari kamar anak mereka. Sekali lagi Azmi geleng, menidakkan. “Abang ada benda nak kongsikan dengan Ila?” Azila mencuba nasib sekali lagi, masih lagi setia berdiri tanpa berganjak walau setapak. Wajahnya penuh mengharap biarpun kelihatan teragak-agak.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 19
“Tak apa, Ila. Ila naik dulu. Sekejap lagi abang naik,” putus Azmi lalu kembali menghalakan pandangannya ke hadapan. Lenguh berpusing tadi, sebelah tangan naik mengurut batang tengkuk. Bahu Azila mengendur. Perasaannya turut terganggu melihatkan senyuman yang menghilang dari raut wajah insan tersayang. Namun, menyedari Azmi perlukan waktu untuk bersendiri, dia memilih untuk menghormati. Langkah kaki dihayun menaiki tangga, menuju ke bilik utama di tingkat atas. Azmi benar-benar memerlukan waktu untuk bersendiri. Kedua-dua belah tapak tangan dipekup pada muka beberapa minit. Kemudian, wajahnya diraup berkali-kali. Ada air hangat yang bergayut pada tubir mata dan tersekat di situ, tanpa diizinkan jatuh mengalir. Keluhan berat dilepaskan. Kata-kata anaknya menikam lumat jiwanya detik ini. Entah kenapa, ngilunya terasa seperti benar-benar ditikam. Senak. Hanya darah yang tidak memancut keluar. Buat pertama kalinya, dia merenung kembali saat dia mula menjatuhkan diri ke dalam jurang yang begitu dalam. Buat kesekian kalinya, perasaan bersalah meresap jauh ke relung hati. Tapi Azmi tahu, untuk berpatah balik setelah
20 | ALIA HUSNA
langkahnya sejauh ini, itu satu perkara yang mustahil. Bahkan dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya. Kenapa kau boleh terjebak dengan semua ni, Azmi? Kenapa kau tak fikir baik buruknya? Kenapa kau tak fikir kesannya pada keluarga? Kenapa kau tak fikir dosa pahala? Jemarinya naik memegang kepala, meramas kasar rambut yang kian hari kian menipis. Rambut putihnya mendominasi di bahagian kepala namun dia masih lagi di situ, terhimpit dek bayang-bayang khilaf sendiri. Menelan lumat rahsia besar yang belum pernah dikongsi dengan sesiapa. Malam yang sepatutnya menjadi waktu untuk dia melepaskan lelah dan berehat, kini menjadi waktu yang sangat panjang angkara serabutnya fikiran. Kemungkinan demi kemungkinan bermain dalam fikiran. Bayangan demi bayangan wajah benci anaknya terpapar seolah-olah sedang mengejeknya tanpa simpati, mengundang resah yang tidak berkesudahan dalam hati. Terasa ingin menjerit, namun akal warasnya menahan. ‘Kau memang cari nahas, Azmi!’
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 21
Bab 3
Beberapa bulan kemudian Malam itu malam yang panjang untuk Elina. Malam yang gelap pekat tanpa ditemani bintang mahupun cahaya rembulan. Malam yang sepi tanpa siulan unggas, seperti sunyinya hati Elina detik ini. Matanya mengitari setiap sudut di ruang tamu. Dari televisyen yang tergantung kepada dinding, beralih kepada sofa penjuru yang mewah dan eksklusif, kemudian kepada perhiasan-perhiasan mewah yang entah berapa nilainya.
22 | ALIA HUSNA
Tidak semena-mena, terlepas keluhan paling berat dari bibirnya. Bahunya mula mengendur. Dada Elina ketat bagai ditimpa batu yang berat. Elina melangkah lemah ke arah sofa lalu duduk bersandar di situ. Bermacam-macam soalan bermain dalam fikirannya. Tidak terluah oleh patah kata. Kepada siapa harus dia ajukan semua soalan ini? Ibu? Ibu pun bingung seperti dirinya. Ayah? Mana mungkin ayah pulang ketika polis sedang giat memburu. Kenapa ayah? Kenapa ayah? Kenapa ayah? Persoalan itu bagai bergema-gema di cuping telinga. Skrin televisyen ditatap dengan satu pandangan kosong. Tanpa disedari, ada seseorang menghampiri Elina dengan pandangan penuh mengharap. Mengharapkan apa yang disampaikan oleh pihak polis di hadapan rumah mereka sebentar tadi salah sama sekali. “El ...,” seru Azila.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 23
Mendengarkan getaran suara itu, Elina berpaling. Matanya merenung si ibu tanpa perasaan. “El percaya?” tanya Azila. Dia ingin tahu perasaan sebenar Elina. “El ragukan ayah?” soalnya lagi sebelum sempat Elina menjawab. Matanya tidak lari daripada terus memandang wajah anaknya. Bibir bawahnya digigit, kebiasaan Elina setiap kali jiwanya ditampar resah. “Polis tak akan menuduh tanpa bukti, ibu,” tekan Elina. Hati Elina terbahagi dua. Melihat kebaikan Azmi kepada keluarga, dia memilih untuk tidak percaya ayahnya tega melakukan perkara terkutuk itu. Namun, memikirkan kehadiran polis di hadapan pintu rumahnya, Elina tidak mampu menolak dakwaan bahawa ayahnya terlibat dengan kegiatan penyelewengan wang. “Tapi ....” Azila masih mahu membela. “Kalau tak ada angin, mana mungkin pokok boleh bergoyang.” Ada getaran pada nada Elina. Nafasnya kedengaran lelah bagaikan baru selesai menghabiskan larian.
24 | ALIA HUSNA
Sungguh, dia juga sedang menahan bebanan perasaan yang amat dahsyat. Azila menunduk, jari-jemarinya disulamkan sesama sendiri. Dengan nada perlahan dia menuturkan, “Ayah tak pernah abaikan tanggungjawab dia.” Jauh di sudut hati, Elina bersetuju dengan kata-kata ibu. Azmi yang mereka kenal adalah ayah yang sentiasa mendahulukan keluarga. Segala keperluan mereka, ayah cukupkan. Tiada kelompongan. Tanpa disangka-sangka, rupa-rupanya ada yang pincang! Elina berdeham kecil. “Ya. Ayah tak pernah lupakan tanggungjawabnya. Tapi, mungkin ada sesuatu yang ayah lupa ....” “Maksud El?” Raut wajah anak yang sukar ditafsir itu diamati dalam-dalam. “Ayah lupa, matlamat tak pernah menghalalkan cara. Ayah lupa, banyak lagi cara yang boleh ayah usahakan untuk dapatkan duit. Ayah lupa untuk berikan nafkah kepada kita dengan cara yang halal dan berkat,” tutur Elina senafas bersama perasaan sebak yang tidak tertanggung.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 25
Air matanya ditahan supaya tidak gugur di hadapan Azila. Ikutkan hati, dia mahu meraung sekuatnya. “Tak, El! Ibu yakin, ayah tak buat semua tu!” Suara Azila naik seoktaf. Kepalanya digeleng-geleng. Hatinya berulang kali cuba menidakkan. Elina tersenyum sinis. Dia juga seperti ibu. Kalau boleh, dia tidak mahu mempercayai semua hal yang didengari tadi. Namun, apabila memikirkan hidupnya yang serba mewah ini, tidak mustahil ayahnya memang benar-benar terjebak. “Sebanyak mana keyakinan ibu pada ayah?” soal Elina. Pandangannya tajam menikam anak mata Azila, sehingga terbit perasaan gerun di hati orang tua itu. Azila terdiam. Sejujurnya, dia pernah meragui suami sendiri. Namun dinyahkan fikiran itu jauh-jauh kerana Azmi tidak akan tergamak melakukan perbuatan keji itu, apalagi mengkhianati kepercayaan dia dan Elina. Hari ini jiwanya kosong. “Jawab El, ibu!” Suara Elina meninggi. Bibir Elina bergetar menahan rasa. Kedua-dua tangan yang menggigil sejak tadi digenggam. Matanya yang merah mencerlung tajam ke arah Azila bersama dengus nafas yang tidak sekata.
26 | ALIA HUSNA
Jerkahan
Elina
membuatkan
bahu
Azila
sedikit
terhinggut. Empangan mata Azila ditakung air hangat yang bila-bila sahaja boleh pecah. Elina tahu dia bersalah kerana meninggikan suara. Namun, perasaan dikhianati menimbulkan kemarahan dalam hati. Tanpa semena-mena, rasa itu dilepaskan kepada orang tersayang. “Realitinya, kita tak pernah tanya apa kerja sebenar ayah. Yalah, siapa aje nak ambil tahu apa skop kerja ayah. Kita seronok bila ayah taburkan kita dengan kesenangan. Kita yakin pada ayah. Kita percaya pada ayah. Tapi, hakikatnya ibu ....” Hati Elina seolah-olah terbakar dengan api kemarahan, tercalar dek cakaran pengkhianatan. Selama ini dia terlalu mempercayai seseorang yang bergelar ayah. Terlalu percaya sehingga tiada sedikit ruang pun ditinggalkan untuk keraguan. “Hakikatnya, kita tak pernah benar-benar mengenali ayah. Dan yang paling menyakitkan El, ibu ....” Jeda. Dada Elina terasa sebu. “Ayah khianati kita.” Usai ayat itu dilafazkan, tangis Elina mula pecah. Dadanya dipukul bertalu-talu.
BILA CINTA DIKHIANATI KELUARGA | 27
Di satu sisi, dia ingin ayah turut berada di situ untuk meyakinkan dia bahawa semua ini hanya mimpi. Semua ini tidak benar. Semua ini hanya fitnah terhadap ayah. Namun di satu sisi yang lain, hatinya yang retak seribu, sudah tidak mampu lagi memanggil lelaki itu sebagai ayah. “Seorang kontraktor ditahan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang bernilai ratusan ribu ringgit yang melibatkan satu projek pembinaan di Johor.” Mendengarkan suara di kaca televisyen, serentak dua pasang mata tertumpu di situ. Susuk tubuh itu ialah orang yang mereka sangat kenali, walaupun wajahnya cuba ditutup dengan baju sendiri. Kalaulah ayah benar-benar tidak bersalah, kenapa ayah begitu bersungguh menyembunyikan wajahnya daripada menjadi tatapan umum?
28 | ALIA HUSNA