Skip to main content

Bab Contoh Istiqamah Oleh Khubaib Akhi

Page 1

KHUBAIB AKHI


Diterbitkan oleh: IMAN PUBLICATION SDN BHD 12 JALAN INDUSTRI KIDAMAI 2/1, TAMAN INDUSTRI KIDAMAI 2, 43000 KAJANG, SELANGOR.

Penyelaras Penerbitan Ketua Editor Ketua Unit Perolehan Editor Perolehan Ketua Unit Manuskrip Editor Pembangunan Manuskrip Editor Naskhah Pruf Baca Penulis Ketua Unit Visual Buku Ilustrasi Reka Kulit Buku Penulis Khat Pereka Letak

No. Tel.: +603-8940 7284 E-mel: admin@imanpublication.com

: Faizah Hamid : Rahmah Pauzi : Fakhrur Radzi : Fakhri Fadzli : Auni Zainal : Maryam Jamilah : Ainul Tajul : Ilham Nordin : Khubaib Akhi : Husna Ab Rahman : Nabilah M.Zaidi : Nabilah M. Zaidi : Muzuza : Haziq Razack

ISTIQAMAH ‫إستقامة‬: MEMPELAJARI MAKNA ISTIQAMAH DALAM AMALAN MENERUSI KEHIDUPAN NABI S.A.W & PARA SAHABAT Cetakan Pertama Januari 2026 ISBN

Dicetak oleh: Mihas Graf ik Sdn Bhd No 8, Jalan SR 4/18, Taman Serdang Raya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Sebarang maklum balas berkenaan buku ini (kesalahan, kerosakan dan juga ulasan) boleh terus ke pautan ini: bit.ly/MI-IMAN

Hak cipta terpelihara. Sebarang kandungan dalam buku ini — termasuk artikel, ilustrasi dan gambar — tidak boleh disalin, diterbitkan semula atau digunakan dalam apa-apa bentuk tanpa kebenaran bertulis daripada Buku IMAN (Umum) Sdn Bhd. Kandungan buku ini juga tidak boleh digunakan oleh mana-mana sistem Kecerdasan Buatan (AI) untuk tujuan latihan atau penjanaan kandungan tanpa kebenaran.


KHUBAIB AKHI

Diterbitkan oleh:


“Mengapa saya tidak istiqamah?” “Mula-mula saja ada semangat…” “Susah betul nak konsisten…” Bukan sekali, banyak kali juga saya terima soalan begini dalam sesi kuliah, tazkirah, ceramah atau kursus yang saya selia. Malah kadangkala, soalan sebegini menjadi pemecah kesunyian jika tidak ada yang bertanya. Naik lali mendengarnya. Tetapi pada masa yang sama, soalan ini nyata (real), dan sesuatu yang dilalui oleh setiap orang apabila memikirkan tentang kebaikan dan keburukan yang bersilih ganti hinggap dan pergi daripada diri sendiri. Setiap kali menghadiri sesi tazkirah, menyertai majliz zikir, duduk dalam usrah, menonton video atau mendengar audio siar ilmiah dalam pelbagai platform; kita bermuhasabah diri, kita menginsafi, dan kadangkala refleksi ini diwarnai dengan sedu-sedan atau tangisan. Kemudian, dengan penumbuk yang digenggam dan dijulang ke langit serta suara yang tegas, kita mengisytiharkan: “Esok, aku akan berubah selama-lamanya!”

14 | KHUBAIB AKHI


Tetapi apabila esok menjelma, semangat itu hilang sertamerta. Hal yang ingin dilakukan berciciran, hal yang ingin ditinggalkan pula terus melekat tak lepas-lepas. Maka kita bertanya: “Mengapa saya tidak istiqamah?” Mengapa? Apabila ditanyakan soalan begini, kebiasaannya saya akan memilih untuk bersikap manusiawi kepada yang bertanya, dan kepada diri sendiri yang akan menjawabnya. “Kalau ada jawapan kepada soalan awak ni, saya pun nak tahu!” Inilah jawapan standard saya kepada soalan-soalan “sukar” begitu. “Kerana sebenarnya, saya sendiri pun ada masalah yang sama, saya juga gagal istiqamah!”

ISTIQAMAH | 15


Istiqamah Itu Manusiawi Konsisten. Inilah kalimah dalam bahasa Melayu yang selalu disinonimkan dengan “istiqamah”. Menurut Kamus menerus”.

Dewan, istiqamah bermaksud, “terus-

1

Pada

kebiasaannya

pula,

istiqamah

sering

difahami

berdasarkan tiga naratif berikut: Pertama, beramal tanpa henti, walau seketika. Kedua, amalan yang langsung tidak berkurang walau sedikit. Ketiga, amalan yang tidak terganggu dan dilakukan dengan fokus tanpa beralih tumpuan. Inilah kefahaman umum tentang makna istiqamah.

1

Kamus Dewan Edisi Keempat.

16 | KHUBAIB AKHI


Menurut pemahaman yang sama, jika satu rukun hilang, maka hilanglah sifat istiqamahnya. Natijahnya, tumbuhlah soalan-soalan cemas (yang disebut pada awal bab ini) bagai cendawan lepas hujan. Hal ini demikian kerana, masing-masing risau akan nasib diri yang tidak istiqamah, kerana tidak istiqamah itu difahami sebagai suatu yang buruk, dan sesuatu yang buruk itu tentulah tidak akan berhujung dengan nasib yang baik di dunia dan di akhirat. Namun hakikatnya, kita manusia, bukan robot! Allah SWT telah mencipta manusia dengan segala ciri manusiawi yang telah ditanam dalam diri kita (faktor dalaman) — seperti emosi, fisiologi, kesedaran dan akal fikiran yang kita miliki. Allah SWT jugalah yang telah menetapkan faktor-faktor luaran, seperti ketentuan nasib dan takdir kehidupan, yang menjadi punca naik turun kehidupan kita dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kedua-dua faktor dalaman dan luaran inilah yang membuatkan kita terdedah kepada kerapuhan dan ketidaksempurnaan dalam usaha menuju istiqamah. Sebagai contoh, jika kita menetapkan penggera jam pada pukul 5.00 pagi, maka mesin itu akan mengejutkan kita pada pukul 5.00 pagi tepat.

ISTIQAMAH | 17


Jika butang yang tertera pada mesin basuh mengatakan bahawa proses basuhan akan selesai dalam masa 50 minit, maka dalam masa 50 minit jugalah pakaian kita akan tersedia untuk dimasukkan ke dalam mesin pengering pakaian pula, yang turut mempunyai butang-butang penunjuk masa. Mesin-mesin ini sememangnya “istiqamah”. Hanya jika terputusnya bekalan eletrik, kehabisan bateri, atau kerosakan sahaja yang akan menidakkan “istiqamah”-nya. Selain faktor-faktor ini, setiap mesin akan beraksi dengan kadar kecekapan 100% seperti yang diminta, tanpa sebarang rukhsah (keringanan) dan keculasan. Konsisten. Istiqamah. Tetapi, sekali lagi saya sebutkan — kita manusia, bukan robot. Terlalu banyak pemboleh ubah yang menghambat seorang manusia, yang akan menariknya ke kanan dan ke kiri, yang akan menggoncangkan jiwa dan raganya. Pagi yang tenang boleh segera menjadi hingar bingar, petang yang tenteram boleh dikejutkan dengan badai yang menghempas tanpa amaran, lalu sekelip mata, kehidupan kita berubah 180 darjah.

18 | KHUBAIB AKHI


Maka, sekiranya kita akan sentiasa diuji dengan pemboleh ubah yang tidak dijangka, bagaimanakah seseorang itu hendak “istiqamah”? Jawapannya, dengan realiti sebegini, tidak ada sesiapa mampu “istiqamah”. Saya kongsikan sebuah kisah untuk kita amati.

* Di lorong-lorong kota Madinah nan indah, Abu Bakar RA telah mendatangi seorang sahabat yang mulia — Hanzalah al-Usaidi RA, yang termasuk dalam kalangan penulis wahyu generasi sahabat RA. Pada sudut hatinya yang paling dalam, ada sesuatu yang belum lunas bagi dirinya. Beliau amat risau akan suatu realiti yang dihadapinya hari demi hari. Sehinggalah pada suatu hari, Hanzalah RA meluah kepada Abu Bakar RA. “Hanzalah telah munafik!” “Subhanallah!” Abu Bakar RA terkejut, “Apakah yang engkau katakan ini?” Kenyataan Hanzalah bukan sesuatu yang remeh. Label “munafik”

digunakan

untuk

menggambarkan

mereka

yang

ISTIQAMAH | 19


menyembunyikan kekufuran dalam diri, kemudian menzahirkan keislaman secara luaran.2 Malah, begitu banyak ayat al-Quran yang memberi ancaman kepada para munafik, di samping menyuruh para Muslimin agar menjauhi golongan ini.3 Jadi, amat mengejutkan apabila Hanzalah RA menyebut dan menyangka dirinya termasuk dalam kalangan munafik. Hanzalah menjelaskan, “Ketika kita berada bersama dengan Rasulullah SAW, Baginda mengingatkan kita tentang syurga dan neraka, bagai kita menyaksikannya di depan mata.” Beliau menyambung lagi, “Kemudian setelah itu, kita keluar dari majlis Baginda SAW dan bertemu dengan para isteri, anakanak, dan segala harta benda, lalu kita lupa akan banyak perkara (nasihat dan peringatan Nabi SAW).” Ketika bersama dengan Rasulullah SAW, imannya luar biasa. Apabila bersama keluarga sendiri, imannya melemah dan memudar. Maka bagi Hanzalah RA, situasi itu melambangkan iman yang tidak konsisten, lalu membawa kepada tafsiran bahawa beliau sebenarnya seorang munafik. 2 3

Ibnu Manzur, Lisan al-‘Arab. Surah al-Munafiqun: 4.

20 | KHUBAIB AKHI


Dalam erti kata lain, Hanzalah RA merasakan beliau tidak “istiqamah”, kerana tidak konsisten dalam kesegaran iman. Kisah ini menunjukkan bahawa kita semua bukanlah orang pertama yang pernah terfikir dan bertanyakan soalan ini. Dilema dan realiti ini telah terlebih dahulu menghantui generasi terbaik dalam kalangan umat ini — para sahabat. Mendengar penjelasan Hanzalah RA, Abu Bakar RA mengakui, “Kami juga melalui hal yang sama!” Aduhai! Abu Bakar RA, orang terbaik dalam kalangan manusia setelah Nabi SAW sendiri mengakui bahawa dirinya juga merasakan hal yang sama; Abu Bakar RA juga tidak “istiqamah”? Sedangkan Umar al-Khattab RA pernah menyebut: “Jika ditimbang iman Abu Bakar RA dan dibandingkan dengan iman keseluruhan penduduk bumi, maka iman Abu Bakar RA akan tetap lebih berat daripada mereka.”4 Jika Abu Bakar RA sendiri merasakan beliau tidak istiqamah, bagaimanakah nasib kita yang timbangan imannya ringan dan lemah ini? 4

Al-Baihaqi, Syi’b al-Iman, 1/144.

ISTIQAMAH | 21


Setelah luahan tadi, berangkatlah kedua-dua sahabat yang mulia ini bertemu Rasulullah SAW, bagi mengadu rasa dan menginsafi kekerdilan diri. Harus diketahui bahawa ketika ini, Allah SWT sudah pun membongkarkan bahawa ada sebahagian dalam kalangan masyarakat Madinah yang munafik. Individu munafik seperti Abdullah bin Ubai juga sudah mula menunjukkan belangnya. “Hanzalah telah munafik!” Sekali lagi, Hanzalah RA memulakan ceritanya. Baginda SAW bertanya, “Bagaimana boleh jadi begitu? Hanzalah menjelaskan, “Ketika kami berada bersama denganmu, dan engkau mengingatkan akan syurga dan neraka bagai kami menyaksikannya di depan mata. Kemudian setelah itu, kami keluar dari majlismu dan bertemu dengan para isteri, anakanak, dan segala harta benda, lalu kami lupa akan banyak perkara (nasihat dan peringatan Nabi SAW).” Maka, Rasulullah SAW menjawab, “Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya.”

22 | KHUBAIB AKHI


Rasulullah SAW begitu serius menguruskan masalah ini sehingga Baginda SAW bersumpah bagi menunjukkan perkara itu bukan hal kecil. “Kalaulah kalian kekal dalam keadaan sebagaimana ketika bersama denganku, ketika dalam majlis peringatanku, maka malaikat akan berjabat tangan dengan kalian di atas katil-katil kalian dan di jalanan…” Malaikat, makhluk yang memang dicipta sebagai “pekerjapekerja” Allah SWT pun akan kagum melihat orang yang tidak pernah melalui turunnya graf keimanan dalam hidup, semuanya menaik dan menaik. Maksud Baginda SAW ialah — mustahil! Mana mungkin seseorang itu boleh sentiasa menikmati konsistensi dalam iman dan amal. Keadaan ini tidak mungkin berlaku kepada mana-mana makhluk yang bernama manusia dengan segala ciri-ciri manusiawinya. Akhir sekali, Baginda SAW menutup pesanannya dengan ayat ini:

ًَ َ َ ًَ َ ًَ َ َ ًَ َ َُ ََْ َ ْ َ​َ ، ‫اَعًة‬ ‫ َساَعًة َوَس‬، ‫ِكْن َيا َحْنَظَلُة َساَعًة َوَساَعًة‬ ِ ‫َوَل‬ ًَ َ َ ًَ َ ‫اَعًة‬ ‫َساَعًة َوَس‬

ISTIQAMAH | 23


“Akan tetapi, wahai Hanzalah, (begitulah hidup ini) — satu waktu begini dan satu waktu begitu (Baginda SAW mengulanginya tiga kali).” (Riwayat Muslim, hadis 2750) Tiga kali Baginda SAW mengulangnya; satu waktu begini, satu waktu begitu.5 Istiqamah itu, manusiawi. Pada sesetengah waktu kita begini, pada waktu lain, kita begitu. Sebagai manusia yang dihambat urusan-urusan duniawi; keluarga, kerjaya dan segala keperluan harian, mengalami rasa “tidak konsisten” dari segi kesedaran imannya ialah sesuatu yang normal. Apa yang dirasai oleh Hanzalah RA dan Abu Bakar RA bukanlah semata-mata perasaan, tetapi realiti. Kata-kata Baginda SAW akhirnya menyuraikan kekusutan dan kegelisahan yang dirasai Hanzalah RA dan Abu Bakar RA. Mereka tentu sekali tidak munafik. Sebaliknya, apa yang mereka berdua lalui itu ialah sebahagian daripada sisi manusiawi yang menjadi identiti yang menerjah setiap makhluk bernama manusia. 5

An-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/67.

24 | KHUBAIB AKHI


Kita memang tidak akan sesekali kekal “konsisten” dalam ketaatan dan kesedaran penuh, pada setiap masa. Adakala iman itu menaik, adakala iman itu menurun. Adakala kita beriman dalam keadaan begini, ada masanya kita beriman dalam keadaan begitu. Ada waktu kita bersemangat, ada waktu kita lemah longlai. Hakikatnya kita hanya manusia, dengan segala sisi manusiawinya yang telah Allah SWT sendiri tetapkan.

ISTIQAMAH | 25


Ingin Baca Lagi? Dapatkan buku ini di www.imanshoppe.com dan juga kedai-kedai buku seluruh Malaysia.

Terokai buku-buku terbitan IMAN Publication yang lain di:

www.imanpublication.com

@imanpublication

https://t.me/KakIman


Turn static files into dynamic content formats.

Create a flipbook